Alhamdulillahi rabbil 'alamin,sama-sama lah kita bersyukur pada Allah s.w.t yang masih memberi ruang pada kita untuk menumpang di bumi dan dunia yang sementara ini dengan pada masa yang sama,kita dipinjamkan dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga dan tiadalah lain kita dikurniakan semua ini melainkan kerana sifat Nya yang sangat mengasihi dan menyayangi sekalian hambaNya.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w, kekasih Allah s.w.t, yang telah banyak berkorban sepanjang hidupnya demi ingin melihat sekalian ummat nya terselamat dari tipu daya dunia yang fana' dan tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat nikmat Allah yang kekal abadi di syurga kelak dan terselamat dari api neraka.
Kata 'ulamak, maka akan matilah hati-hati manusia itu tatkala mereka tiada mendengar dan membaca hadith Nabi s.a.w selama tiga hari,kerana tiadalah sebaik-baik peringatan melainkan apa yang disampaikan oleh kekasih Allah yakni yang dikurniakan wahyu kepadanya dan yang paling hampir dan dikasihi oleh Allah s.w.t.
Jadi dikesempatan yang ada ini,sekadar ingin mengajak sahabat-sahabat semua,bersama diri ini untuk menghayati hadith di bawah ini,serta huraian yang ditulis oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam dari kitabnya, "Empat Puluh Hadith Penawar Bagi Hati". Semoga sama-sama dikurniakan taufik dan hidayah untuk mengambil manfaat darinya.
Daripada Jabir radhiallahu anhu berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : " Perumpamaan aku dan perumpamaan kamu adalah seperti seorang lelaki yang duduk berdekatan unggunan api, maka banyaklah belalang dan rama-rama(kelkatu) yang menjatuhkan diri ke dalam api itu, maka orang itu berusaha sedaya upaya untuk menyekat binatang-binatang tadi supaya jangan sampai jatuh ke dalamnya. Aku ( Rasulullah s.a.w) berusaha memegang simpulan kain kamu supaya kamu jangan jatuh ke dalam jurang api neraka,namun ramai di kalangan kamu masih juga hendak melepaskan diri dari pegangan ku.
H.R Muslim
Dan dalam hadith yang lain riwayat daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : " Semua umatku akan masuk ke dalam syurg, melainkan orang yang enggan. Sahabat merasa hairan lalu bertanya " Ya Rasulullah ! Siapa yang tidak suka masuk syurga?" Rasulullah s.a.w menjawab : " Sesiapa yang taat padaku beerti dia mahu mahu syurga dan sesiapa yang menyalahi ajaranku maka orang itulah yang tidak mahu masuk syurga".
H.R Bukhari
KETERANGAN :
Umat Islam adalah umat yang dirahmati oleh Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w adalah bergelar dengan Nabiyyur Rahmah ertinya Nabi yang membawa rahmat bagi sekalian alam. Sebelum Nabi s.a.w di utus ke dunia ini,seluruh alam adalah dalam suasana jahiliyah yang tidak mengenali nilai dalam kehidupan. Manusia telah kehilangan pengangan hidup. Yang kuat menindas yang lemah dan yang kaya memeras yang miskin. Masyarakat sudah kehilangan insaniyah(perikemanusiaan) dan yang lebih buruk daripada itu ialah manusia sudah tidak mengenali Tuhan yang menciptakan mereka.
Maka dalam keadaan gelap gelita itu tiba-tiba datanglah Nur yang dibawa oleh junjungan kita Nabi s.a.w, maka dunia yang gelap gelita tadi telah berubah menjadi alam yang terang bederang. Kesesatan telah berubah menjadi petunjuj.Manusia telah mengerti dan memahami tujuan kehidupannya di atas permukaan bumi ini. 'Umar Al-Khatab yang yang dahulunya hanya pengembala kambing dilereng bukit Makkah itu telah berubah menjadi pemimpin umat yang disegani oleh kawan dan lawan. Tanah Makkah yang kering kontang itu telah menjadi pusat tamadun insan yang agung hingga ke akhir zaman. Manusia yang rakus,kejam lagi bengis itu telah berubah menjadi orang yang zuhud,tawadhu' dan menangis di kegelapan malam dan begitulah seterusnya......
Namun jiwa yang sakit tidak dapat menerima rahmat ini dan hati yang telah dibalut oleh selaput "tiga ta" iaitu cinta harta,cinta takhta dan cinta wanita, telah menjadi kebal,bahkan panggilan kebenaran di anggap loceng petanda berakhirnya kekuasaan hawa nafsu dan syahwat, oleh itu mereka tetap memilih jalan syaitan dan merasa bangga dengan terus berkubang di lumpur kekufuran dan hanyut di lautan kemaksiatan yang akhirnya mereka akan dibawa oleh arus yang menghantarkan mereka ke pintu api neraka. walya'u zubillahi min zaalik.
No comments:
Post a Comment